Jumat, 27 November 2015



Masa motosikal saya hilang hari tu, saya tak kecewa sangat sebab motor tu dah cover takaful. Memang saya rugi, tapi taklah sebanyak mana. Cuma bila hilang motosikal, urusan jadi terganggu sekejap. Dari sudut duit tu tak merisaukan sangat, sebab saya sentiasa bersedia dengan simpanan kecemasan minium 3 bulan pendapatan. InsyaAllah duit tu cukup untuk beli motosikal baru secara tunai pada bila-bila masa. Kalau nak tunggu duit takaful, memang lambat. Mungkin 3 bulan atau 4 bulan baru dapat claim. Sedangkan saya perlukan motosikal untuk bergerak cari rezeki.
Walaupun ada kereta, saya tak suka bawa masuk ke tempat-tempat jem macam KL. Kalau di kampung tak apa. Kereta tu cuma bergerak beberapa kali jer seminggu. Itupun kalau keluar dengan anak-anak. Kalau setakat berdua dengan isteri, kami lebih selesa naik motosikal jer sebab jimat masa, tak perlu buang masa dalam jem. Saya memang alergik dengan jem! (“,)

Kenapa 3 Bulan Pendapatan?

Pasal simpanan kecemasan ni, selalu orang tanya saya, kenapa perlu simpan 3 bulan pendapatan? 3 bulan pendapatan tu, adakah sekadar gaji pokok atau termasuk elaun sekali? Sebenarnya, “3 bulan pendapatan” yang dimaksudkan ialah duit untuk menampung kos sara hidup bagi tempoh tiga (3) bulan. Maksudnya,kalau tetiba hilang sumber pendapatan, kita masih boleh survive sekurang-kurangnya untuk tempoh lagi 3 bulan tanpa menjejaskan gaya hidup.
Jangan jadi macam kes terbaru yang saya dengar, seorang doktor pakar yang pendapatan RM150,000 sebulan, tapi terpaksa bergolok gadai bila jari dia putus dipotong perompak! Walaupun pendapatannya besar, dia tak bersedia dengan simpanan kecemasan. Sekurang-kurangnya untuk tempoh recover hingga dia boleh bekerja balik.
Simpanan kecemasan tu sangat kritikal. Kalau motosikal hilang, kita boleh terus beli motosikal baru. Kalau hilang kereta, duit tu cukup at least untuk bayar deposit kereta baru. Kalau kena minor accident, duit tu cukup untuk repair motor atau kereta. Kalau kereta kemek sana sini tapi tak repair-repair, itu petanda mudah orang tu tak ready dengan 3 bulan pendapatan.

Simpan Tunai, Sulitkan Pengeluaran

Bagi saya, simpanan pertama yang kita kena buat ialah simpanan kecemasan. Jangan sibuk labur sana sini kalau simpanan kecemasan 3 bulan pendapatan pun belum ada. Kalau pendapatan keluarga RM1,000, maksudnya mesti ready duit RM3,000. Kalau pendapatan keluarga RM5,000, kena ada RM15,000. Kalau RM10,000 sebulan, mesti ready RM30,000!
Duit simpanan kecemasan tu tak boleh diganggu untuk labur sana-sini sebagaimana artikel saya “Simpan 3 Bulan Pendapatan, Labur Selebihnya“. Kena simpan dalam bentuk tunai, tapi bukan dalam akaun bank yang senang dikeluarkan melalui mesin ATM. Takut panjang akal untuk berbelanja. Saya simpan duit kecemasan dalam akaun Tabung Haji. Kalau terdesak, saya terpaksa bawa buku ke kaunter Tabung Haji atau Bank Islam. Saya tak linkkan dengan kad ATM Bank Islam sebab takut bocor.
Lepas motosikal saya hilang hari tu, duit tu dah berkurangan sebanyak RM7,000. Duit tu saya kena cover balik dengan claim takaful dalam RM3,000, dan RM4,000 lagi dengan pendapatan bulanan saya. InsyaAllah bulan ni dah boleh tutup balik dana kemasan yang bocor tu.

Langsai Hutang atau Simpanan Dulu?

Lagi satu pasal bayar hutang. Antara langsaikan hutang dan buat simpanan, bagi saya keutamaan ialah buat simpanan 3 bulan pendapatan dulu, tapi dalam masa yang sama, ansuran pinjaman tu kena bayar macam biasa supaya rekod hutang kita cantik. Nanti senang nak buat apa-apa hutang baik dengan bank untuk masa depan.Tak perlu gopoh langsai semua hutang sampai habis duit simpanan. Takut nanti bila terdesak, terpaksa swipe kad kredit atau buat hutang lagi! Kalau cukup simpanan 3 bulan pendapatan, insyaAllah kita boleh bernafas lega walaupun masih ada hutang-hutang yang lain.
Akhir sekali nasihat saya, urus duit dengan betul walaupun pendapatan kita tak lah sebenar mana. InsyaAllah kita masih boleh hidup selesa. Jangan fikir kalau gaji besar, semua masalah kewangan akan selesai sebab hakikatnya, ramai orang pendapatan berbelas ribu sebulan, tapi tersepit dengan masalah kewangan. Dan saya jumpa ramai orang bergaji besar, tapi duit simpanan kecemasan pun tak ada! Kalau begitulah gayanya, saya rasa kawan-kawan pendatang Bangla dan Indonesia tu lebih kaya dari kita!

0 komentar:

Posting Komentar